KELAB REMAJA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA

Tampil di tengah-tengah masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan ini. KRIM menawarkan pakej pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, jasadi, rohani, emosi dan kemahiran. Hasil yang ingin dilahirkan ialah perubahan sikap motivasi, iltizam dan jatidiri dalam diri remaja itu sendiri.

Ramadhan: Bulan Taqwa, Al-Quran dan Transformasi

oleh KELAB REMAJA ISMA Wednesday, August 19, 2009 0 komen

Ramadhan: Bulan Taqwa, Al-Quran dan Transformasi


Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut kehadiran bulan istimewa Ramadhan El-Mubarak. Tetamu agung yang datang bertandang setiap tahun. Membawa pelbagai hikmah, rahmah dan barakah buat insan-insan yang tidak pernah mengenal erti jemu dan lelah, bagi mencari spirit ruhiyah dan didikan rabbaniyah. Itulan bulan tarbiyah, bulan tazkiyyah, bulan yang disediakan untuk meningkatkan kualiti taqwa sebagai bekal bagi mengharungi bulan-bulan selanjutnya.

Ramadhan seharusnya dekat di hati kita. Padanya kita mengambil bekalan dan kekuatan untuk menggilap iman dan taqwa, membugar niat, mentajdid tekad dan mentranformasikan diri dari segala kekangan nafsu kepada kemerdekaan fitrah, membebaskan diri kita dari bertuhankan hawa nafsu kepada membulatkan perhambaan kepada Allah.

Inilah matlamat dan visi agung (maqasid) pensyariatan puasa di bulan Ramadhan. Visi yang meletakkan taqwa sebagai neraca kualiti seorang manusia bahkan kualiti sebagai seorang pendakwah di jalan Allah. Kalimah “la ‘allakum tattaqun” menunjukkan bahawa semangat daripada kewajipan puasa ialah melahirkan graduan yang beroleh segulung ijazah taqwa hasil kursus, latihan dan kem selama 30 hari di Universiti Ramadhan ini.

Taqwa dan tazkiyah an-nafs inilah yang menjadi pra-syarat kejayaan dan kemenangan Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang memberikan penekanan dan keutamaan taqwa sebagai asas penentu segala kejayaan dan kemenangan. Antaranya:

“Jika kamu bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberikan kamu Furqan (pembeza antara haq dan batil).” (Al-Anfal: 29)

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan diberikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak ketahui.” (At-Tholaq: 2-3)

“Bertaqwalah kepada Allah dan pasti Dia akan memberikan kamu ilmu dan pengetahuan.” (Al-Baqarah: 282)

Al-Quran mengulang-ulang perkataan taqwa dalam setiap perintah dan suruhannya kepada orang-orang mukmin bagi mengingatkan mereka bahawa persoalan taqwa, persoalan iman dan persoalan hati adalah persoalan induk di dalam tarbiyah, persoalan survival dakwah dan kewujudan ummah Islamiah tersebut. Tarbiyyah Imaniyah inilah yang menjadi pokok dan inti kekuatan Harakah Islamiah dan rahsia keagungan umat dalam membina empayar iman dan keutuhan peradabannya.

Sementara itu, proses berlapar dan menahan diri daripada makan minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa memberikan isyarat bahawa kita dilatih supaya meletakkan kepentingan Allah mengatasi kepentingan perut, nafsu dan diri sendiri. Inilah makna dan inti dari syariat puasa di bulan Ramadhan.

Allah juga telah memberikan keistimewaan Ramadhan ini dengan memuliakannya dengan syariat puasa. Begitu juga kemuliaan Ramadhan ini dengan penurunan Al-Quran sebagai manual panduan kepada umat Islam. Pakej Ramadhan yang diisi dengan kefardhuan puasa dan wahyu Al-Quran ini memberikan isyarat betapa umat Islam perlu kembali menjadikan Al-Quran sebagai rujukan terbesar di daalm kehidupan mereka, sumber perundangan dan asas-asas kehidupan mereka.

Betapa saban tahun, kita melihat umat Islam memasuki Ramadhan tanpa menjadikan Al-Quran kitab panduan mereka, KPI bagi kehidupan mereka, bahkan ada yang menyeleweng daripada kefahaman Al-Quran, berpaling dari mengikuti ajaran-ajaran Al-Quran sehingga ada yang mencerca dan menghina Al-Quran. Al-Quran yang sepatutnya menjadi sumber energi kekuatan umat telah hilang dan lenyap dari hati-hati umat Islam. Umat Islam tidak berusaha menggali dan meneroka, mencari spirit dan kekuatan dari Al-Quran bagi memajukan diri mereka sama ada dari aspek keilmuan, ekonomi, politik, pendidikan dan kepemimpinan.

Dalam dunia pembangunan sumber manusia hari ini, kita bercakap soal IQ, EQ, SQ dan sebagainya. Hakikatnya, asas kepada kecemerlanganIQ, EQ dan SQ sebenarnya berpaksikan kepada kecerdasan Al-Quran (QQ). Al-Quran inilah yang telah melahirkan rijal-rijal umat, membina ummah Islamiyah, mengangkat pemerintahan Islam dan membentuk wilayah tamadun Islam.

Al-Quran inilah yang telah menempa dan merubah hati Umar Al-Khattab sehingga membentuk beliau menjadi pahlawan dan Khalifah Islam yang hebat dan dikenali. Al-Quran inilah telah yang menukar bangsa Arab dari Jahiliyah kepada Islam. Al-Quran inilah yang telah membina masyarakat Islam dan Daulah Islam Madinah. Al-Quran inilah yang telah menjadi asas kepada perluasan wilayah Islam sehingga menebar sebagai kuasa dunia (ustaziyatul alam) dan menjadi satu tamadun besar Islam (Hadharah Islamiah Kubra).

Marilah kita mengisi Ramadhan dengan melakukan sebanyak mungkin ibadah, meningkatkan taqarrub kita, memperbaharui bai’ah kita kepada Allah dan Rasul, meningkatkan iltizam dan komitmen kita agar kita nanti keluar daripadanya sebagai Insan Rabbani, Da’ei Muttaqi dan Murabbi Qawiyy.

Salam Ramadhan El-Mubarak. Ramadhan Bulan Tajdid dan Tranformasi.

TV KRIM JOHOR

    Fan Page KRIM Johor