KELAB REMAJA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA

Tampil di tengah-tengah masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan ini. KRIM menawarkan pakej pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, jasadi, rohani, emosi dan kemahiran. Hasil yang ingin dilahirkan ialah perubahan sikap motivasi, iltizam dan jatidiri dalam diri remaja itu sendiri.

Iman Bentuk Keperibadian Mulia

oleh KELAB REMAJA ISMA Friday, February 4, 2011



Jika mahu buat karipap, kita kena ada resepi dan acuan tertentu. Selepas diuli dan dibentuk mengikut acuan karipap jadilah ia karipap. Jika resepi karipap tapi guna acuan maruku takkan jadi karipap sebaliknya akan jadi marupap (maruku campur karipap).

Begitulah keadaannya jika mahu mendidik remaja. Mesti ada resepi yang betul dan acuan yang tepat. Islam adalah resepi, manakala iman pula acuan.

Kaedah ini yang digunakan Rasulullah s.a.w membentuk generasi terdahulu. Bermula dengan kenal Allah terbina segala kebaikan. Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: Awal-awal agama adalah kenal Allah. Keimanan yang diajar Rasul ialah percaya di hati, diungkap lidah dan dibuktikan dengan anggota badan.

Pengaruh iman yang diajar nabi itu mengubah watak sahabat daripada jahiliah kepada Islam, daripada saling berperang kepada saling berkasih sayang, daripada pentingkan diri sendiri kepada sanggup berhabisan. Malah, seribu satu watak hebat yang tak pernah dilihat sebelum itu muncul. Daripada orang tidak dikenali menjadi bintang ternama dan tiada tandingan.

Iman yang sebenar dan mampu mengubah manusia ialah pertamanya: Iman yang terasa sentiasa bersama Allah, rasa diintip dan diperhati. Lihat contoh apabila iman meresap dihati.

Berlaku satu dialog Khalifah Umar yang menguji remaja penjaga kambing. Suatu hari, Umar berkata kepada si penjaga kambing,

“Saya mahu beli kambing, bolehkah saya membuat bayaran kepada kamu tanpa berurusan dengan pemilik kambing ini?

Jawab si penjaga kambing, “tidak boleh, pergilah tuan berurusan dengan pemiliknya.”

Khalifah Umar mendesak, terus menguji. “Jika kamu jual, pemilik kambing ini tidak tahu malah kambing beranak ke, mati ke, dia bukan kira. Kamu ambil duit jualan ini pun, pemilik kambing tidak tahu?.

Apakah jawapan remaja sipenjaga kambing yang mendapat percikan keimanan itu? “Saya sebagai penjaga amanah tidak boleh khianat, walaupun tuan saya tidak lihat perbuatan saya ini tapi Tuhan tuan saya Maha Melihat?.

Ya Allah, Subhanallah, itulah jawapan keimanan yang membuatkan Umar menangis kerana terlalu gembira rakyatnya mempunyai akidah, tidak sanggup menipu dan tidak pecah amanah.

Bentengnya ialah keimanan.

Kedua: Iman mendalam penuh dengan cinta Allah hingga mengutamakan Allah lebih daripada segalanya, abaikan kemahuan sendiri demi untuk Allah. Dengan kata lain, apabila sesuatu perbuatan itu kelihatan mulia dimatanya, tapi menurut Allah perbuatan itu hina, mereka memandang perbuatan itu hina.

Seperti memakai emas bagi orang lelaki nampak hebat tapi Allah melaknat lelaki yang memakai emas. Justeru kerana kecintaan yang mendalam kepada Allah dapat mamadamkan keinginan untuk pakai emas. Begitu juga kita nampak sesuatu perbuatan itu tak cantik, rimas tapi Allah kata perkara itu wajib, jadi utamakanlah kehendak Allah. Seperti memakai tudung menutup aurat kelihatan rimas dan panas, tapi keimanan akan mengutamakan kehendak Allah malah melihat perkara itu mulia bahkan rasa bangga dapat mengikut kehendak Allah.

Umpamanya, sesuatu perbuatan itu seperti merugikan, habiskan duit seperti zakat, haji atau bersedekah. Oleh kerana Allah pandang amalan itu mulia, iman akan utamakan kehendak Allah. Terasa diri mulia jika dapat tunaikan malah akan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikannya. Begitulah juga berjudi itu nampak menguntungkan tapi kerana Allah melarang dan melaknat, iman akan membuatkan seseorang itu menjauhi perbuatan yang Allah tidak suka.

Ketiga: Iman yang membuatkan hati terasa kebesaran dan keagungan Allah melalui tanda-tanda ciptaan Allah. Walaupun tak nampak tuannya tapi dengan melihat ciptaan-Nya, cukup menggerun keegoan manusia. Anda pernah masuk hutan untuk satu aktiviti ternampak kesan tapak kaki harimau, apa perasaan anda? Langkah seribulah jawabnya, baru tengok kesan tapak kaki harimau belum lagi berhadapan dengannya.

Bawa kereta di lebuh raya, tiba-tiba ada pemandu lain bagi isyarat lampu, dah tahu tu mesti ada sekatan polis. Punya hebat keyakinan. Keyakinan pada Allah sepatutnya lebih hebat dari itu, takutkan azab, balasan dan ancaman-Nya sehingga hidup hanya untuk mematuhinya sahaja.

Lihat Saidina Abu Bakar. Suatu hari dia makan. Selepas makan baru tahu ada keraguan haram pada makanan itu. Kerana takutkan azab Allah dijolok halkumnya sehingga termuntah keluar segala makanan yang dimakannya. Bila ditanya kenapa sampai begitu sekali, beliau menjawab:

“Jika ketika dijolok tadi nyawa ku terkeluar sekali, aku reda sebab nabi bersabda: Daging yang tumbuh dari makanan haram, layak untuk api neraka?.

Bagaimana iman yang kita miliki. Berfungsi sebagai pembentuk peribadi atau mandul tanpa sebarang kebaikan.

TV KRIM JOHOR

    Fan Page KRIM Johor