A. PENGENALAN
1. Latar Belakang
Remaja adalah aset penting negara kerana merekalah yang akan mencorakkan jatuh bangunnya tamadun bangsa ini di masa hadapan. Mereka adalah ibarat biji benih yang ditanam, perlu dibela, dibaja dan dilindungi dari sebarang kerosakan agar pepohon yang bakal hidup melahirkan buah-buahan yang masak ranum dan hasil yang lumayan.
KELAB REMAJA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (KRIM) tampil di tengah-tengah masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan ini. KRIM menawarkan pakej pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, jasadi, rohani, emosi dan kemahiran. Hasil yang ingin dilahirkan ialah perubahan sikap motivasi, iltizam dan jatidiri dalam diri remaja itu sendiri.
2. Rasional
2.1 KRIM membuka ruang seluas-luasnya kepada remaja untuk melibatkan diri dalam sebuah kelab yang mampu memandu, menggilap dan mengembangkan segala aspek potensi dan bakat yang ada di dalam diri mereka.
2.2 Penglibatan sepenuhnya dalam KRIM mampu menghindarkan para remaja daripada sikap membuang masa dan seterusnya terjebak dengan segala permasalahan sosial.
2.3 Ini memenuhi aspirasi ibu bapa dan masyarakat yang mahu melihat pembentukan sebuah generasi remaja yang cemerlang, berpegang teguh kepada nilai-nilai agama, hidup berteraskan ilmu dan mampu berdikari.
3. Visi
Menjadikan Kelab Remaja ISMA (KRIM) sebagai pusat pembangunan potensi remaja yang dikenali dan diyakini masyarakat.
4. Misi
Melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai-nilai motivasi, iltizam dan jatidiri unggul melalui aktiviti-aktiviti pembangunan insan yang syumul.
5. Objektif
5.1 Memberikan kefahaman islam yang syumul dan rasa tanggungjawab tinggi kepada Tuhan, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
5.2 Menerapkan nilai-nilai motivasi dalam diri, sikap cintakan ilmu dan penguasaan kemahiran hidup.
5.3 Membina iltizam untuk beramal dengan tuntutan agama, berakhlak mulia dan berbakti kepada bangsa.
5.4 Membangun jatidiri dengan keperibadian yang tinggi, memiliki ciri-ciri kepimpinan dan berwawasan.
5.5 Memupuk nilai persaudaraan islam dan kerjasama di kalangan remaja.
5.6 Melahirkan remaja yang sihat tubuh badan, cerdas minda dan tahan lasak.
6. Program dan Aktiviti
Program KRIM terbahagi kepada 4 bahagian utama:
6.1 Program Pembangunan Sahsiah
6.2 Program Latihan Kemahiran
6.3 Program Peningkatan Akademik
6.4 Program Pembangunan Sukan
B. PERLEMBAGAAN KELAB
1. Nama dan Alamat Perhubungan.
Kelab remaja ini dikenali sebagai KELAB REMAJA ISMA atau ringkasnya dikenali sebagai KRIM. KRIM bernaung di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang memiliki alamat pendaftaran seperti berikut:
No Pendaftaran: 2701/97
No 25-1-1 & 27-1-1,
Jalan Medan Pusat Bandar 1A,
Medan Pusat Bandar 1, Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
2. Logo Kelab
2.1 Asas logo KRIM ialah kalimah Wa’aiddu yang dipetik daripada ayat 60 surah Al-Anfal yang bermaksud “Dan Persiapkanlah”. Di dalam ayat tersebut Allah memerintahkan umat Islam agar membuat segala persiapan bagi membina kekuatan untuk menghadapi segala bentuk ujian dan rintangan di masa hadapan.
2.2 Warna oren yang menjadi latarbelakang logo melambangkan sikap sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran persekitaran.
2.3 Bulat dan lambang geometri merupakan sebahagian daripada logo ISMA yang bermaksud segala aktivisme KRIM adalah di dalam kerangka visi dan misi ISMA itu sendiri.
3 Moto Kelab
MOTIVASI, ILTIZAM dan JATIDIRI menjadi moto pergerakan KRIM.
3.1 MOTIVASI:
a. Membina matlamat hidup yang jelas
b. Membangkitkan semangat untuk mengejar kecemerlangan
c. Mengenali cara dan gaya hidup cemerlang
3.2 ILTIZAM:
a. Keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh
bertanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu
b. Berterusan dalam melakukan kebaikan
c. Berpegang teguh dengan prinsip dan nilai agama
3.3 JATIDIRI:
a. Memiliki daya juang, daya tahan dan daya saing
b. Mempertahankan maruah diri, agama dan bangsa
c. Memahami potensi diri dan tahu mengembangkannya
d. Berupaya memimpin dan membimbing orang lain
4. Bendera Kelab
Bendera KRIM adalah logo KRIM yang berlatarbelakangkan warna putih. Di bawahnya tertera nama cawangan KRIM. Di kelilingnya adalah garisan hitam yang merupakan kerangka ISMA.
5. Keahlian
5.1 Keahlian KRIM terbahagi kepada 2:
5.1.1 Ahli Umum – terbuka kepada semua remaja muslim lelaki dan perempuan yang berumur 13 sehingga 17 tahun.
5.1.2 Ahli Teras – ahli-ahli umum KRIM yang telah lulus ujian penilaian peningkatan dan dipersetujui oleh Jawatankuasa KRIM Cawangan.
5.2 Setiap ahli yang berdaftar akan mendapat Kad Keahlian KRIM.
5.3 Undang-undang keahlian KRIM
Setiap ahli KRIM mestilah berusaha sedaya upaya untuk mematuhi kesemua undang-undang berikut:
1. Beriman dengan akidah Islam yang benar
2. Melakukan ibadah dengan betul
3. Mencintai ilmu pengetahuan
4. Berakhlak mulia dan menghormati orang lain
5. Menjaga kebersihan, kecergasan dan kesihatan diri
6. Mampu mengawal diri dan nafsu di setiap tempat dan ketika
7. Mengutamakan organisasi dan semangat kerja berpasukan
8. Mengurus masa dan kehidupan dengan baik
9. Sentiasa bersedia membantu rakan dan masyarakat
10. Berani, berdikari dan sabar dalam menjalani kehidupan
Ahli-ahli boleh dilucutkan daripada keahlian sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang keahlian dan dipersetujui oleh Jawatankuasa KRIM Cawangan.
6. Pakaian Rasmi
6.1 Ahli Umum:
· T-Shirt rasmi KRIM
· Seluar berwarna biru gelap (blue black)
· Memakai topi rasmi KRIM berwarna hitam.
· Kasut berwarna hitam
6.2 Ahli Teras:
· Sama seperti ahli biasa
· Memakai beret rasmi KRIM berwarna biru gelap.
7. Ikrar Keahlian
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Kami ahli-ahli Kelab Remaja ISMA berjanji dan berikrar akan:
Taat kepada Allah dan Rasul
Setia kepada ketua dan pimpinan
Patuh kepada undang-undang
Berakhlak mulia dan beradab sopan
Cinta kepada umat dan manusia
0 komen