(KAMPUNG SAWAH, SABTU) 19-20 Disember 2009 : Kelab Remaja ISMA telah menggegarkan kaki Gunung Pulai dengan mengadakan sebuah aktiviti cuti sekolah yang bergelar Jambori Remaja Muslim KRIM. Jambori yang dipenuhi dengan aktiviti bercorak keagamaan ini diadakan di Nurfa Farmstay, sebuah lokasi kem berkonsepkan agrikultur yang terletak di Kampung Sawah, Pekan Nenas, Pontian.
Pagi Sabtu menyaksikan ketibaan 86 orang peserta yang berasal dari seluruh pelusuk negeri Johor, termasuklah lebih 20 orang peserta dari Singapura. Peserta dari Singapura dibawa masuk atas ehsan NGO PERDAUS ( Persatuan Pelajar Dewasa ) cawangan Singapura yang diketuai oleh Encik Khairuddin . Jambori ini diadakan di atas usaha baik Encik Ismail Bin Ali, Pengerusi Kelab Remaja ISMA. Kelab Remaja ISMA (KRIM) merupakan suatu inisiatif berpersatuan di bawah Ikatan Muslimin Malaysia, yang bertujuan untuk memperkasakan potensi remaja muslim supaya mampu bersaing dalam era globalisasi yang penuh dengan cabaran moral dan hedonisme. Antara aktiviti yang biasa dijalankan oleh KRIM ialah kem-kem motivasi dan jatidiri untuk remaja, biasanya berusia di antara 9 tahun hingga awal 20-an. KRIM menggunakan pendekatan dakwah holistik yang dijalankan secara santai tetapi berhikmah. Kem-kem motivasi dan jatidiri KRIM biasanya dijalankan selama 2-3 hari sahaja, namun kesannya amat mendalam dari segi spiritualiti dan moraliti peserta. Fasilitator KRIM terdiri daripada aktivis yang terlatih dalam aktiviti dakwah dan memotivasikan pelajar.
Kem dimulakan dengan taklimat kem yang disampaikan oleh Encik Ismail Bin Ali, moderator kem. Encik Ismail menekankan tentang betapa pentingnya kesedaran diri dalam melaksanakan perubahan kepada sikap yang lebih positif, bukan hanya bergantung kepada fasilitator atau moderator untuk mengubah diri peserta. Sesi ini diteruskan dengan aktiviti ice breaking yang dijalankan oleh Ketua Fasilitator saudara Hanif Bin Nor Azhar. Hanif menggunakan teknik yang santai berupa permainan dan dialog mesra untuk membahagikan peserta mengikut kumpulan masing-masing.
Selepas solat Zohor pada jam 1:30 petang, peserta dihidangkan dengan santapan rohani berupa ceramah jati diri berunsurkan keagamaan yang disampaikan oleh moderator kem. Encik Ismail menekankan aspek moraliti dan kesedaran sosial melalui penekanan keagamaan, menggunakan video dan lagu bermesejkan Islami. Kem diteruskan lagi dengan aktiviti Program Tarbiah Amali yang dijalankan sejurus selepas solat Asar di Masjid Jamik Kampung Sawah. Program ini memerlukan peserta kem untuk merasai sendiri pengalaman berdakwah dengan mengajak penduduk Kampung Sawah untuk menghadiri majlis agama yang akan diadakan pada malam itu selepas waktu Maghrib. Sehubungan dengan itu, sebuah ceramah agama bertemakan Maal Hijrah, yang disampaikan oleh Ustaz Hanif, pegawai daripada Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Pontian.
Malam kem diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Hisham bin Jaafar, bergelar Pak Uteh, yang merupakan seorang motivator dakwah tetap KRIM Johor. Pak Uteh menggunakan pendekatan audio visual untuk menyedarkan peserta berkenaan masalah sosial dan menanamkan prinsip agama Islam yang teguh dalam sanubari peserta.
Hari kedua Jambori Remaja Muslim Johor dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah dan bacaan zikir al-ma’thurat yang dipimpin oleh akhi Hairul Anuar.Tazkirah Subuh juga tidak ketinggalan diadakan sebagai peringatan pagi.Slot riadah diketuai pula oleh saudara Safarol Akmar ( abang Balacks ) yang pakar memimpin kecergasan diri.Bagi Aktivis KRIM Johor mengambil kesempatan bersama-sama ikhwah Singapura (akhi Ust Abdul Rahman ) bertaaruf dan berkongsi pengalaman.i
Perserta-peserta jambori seterusnya bergerak ke kaki gunung pulai 2 untuk slot explorace dan mendaki kaki gunung pulai 2 dengan menaiki bas.Ada 4 check point dilalui oleh semua kumpulan dengan aktiviti dan input yang disampaikan.Di sini, peserta jambori didatangi wartawan dari Berita Harian membuat liputan program dan menemuramah beberapa orang peserta dan Cikgu Ismail.Seterusnya,para peserta dapat menikmati mandi air terjun gunung pulai 2.
Selepas solat Zohor diadakan majlis penutup jambori remaja muslim Johor yang mendapat tetamu Pegawai Tadbir Agama daerah Pontian ( PTA )iaitu asy-asyeikh Ustaz Fauzi bin Bachok membuat ucapan perasmian penutup.Ustaz Wan Azli selaku S/U Isma Johor juga turut menyampaikan ucapan mewakili akhi Tahir Hamdan ( Pengerusi ISMA Johor ).Selepas itu,diadakan slot salam perpisahan, peserta-peserta jambori bersalam-salaman dengan diiringi nasyid doa perpisahan.Semoga berjumpa lagi kepada peserta-peserta jambori kali ini.Anda semua adalah Alumni KRIM Johor dan kalau ada program boleh mengikutinya dengan mendapatkan maklumat dari laman blog ini.
Akhir sekali,program yang singkat ini diharapkan mendapat keberkatan dan jalinan ikatan muslimin akan terus berkekalan.Buat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung KRIM Johor ingin merakamkan jutaan terima kasih terutama Pak Uteh,Akhi Rosli ( JPJ ) dll dan semoga antum semua diberi kesihatan agar dapat terus menyumbang perkembangan dakwah.
Gambar semasa majlis perasmian penutup Jambori Remaja Muslim Johor
0 komen